Sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya terdapat empat pengajaran besar di dalam kisah Nabi Ibrahim AS yang boleh kita perhatikan bersama yang mana ianya punyai persamaan dengan waktu kita sekarang iaitu:
Aqidah umat kian merosot.
Aqidah masyarakat sehingga menatijahkan kejahiliahan yang dijelmakan dengan aktiviti, percakapan, tindakan dan cara hidup. Allah tidak lagi diimani sebagai Ilahi yang hakiki bahkan diletakkan pula patung berhala, harta dan manusia sebagai ilah. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:
Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!
Pemimpin zalim ditakuti.
Wujud pemerintah yang zalim. Dengan angkuh memaksa rakyat untuk mengakuinya sebagai tuhan mereka yang mampu menghidup dan mematikan. Barangsiapa yang mengingkarinya pasti dibunuh.
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.
Menurut ulama tafsir (Ibn Katsir) dan nasab, raja itu adalah Raja An-Namrud bin Kan’an, penguasa Babil. menurut As-Sudy, ”Debat ini terjadi antara Ibrahim dan Raja Namrud setelah Ibrahim selamat dari upaya pembunuhan dibakar api.” Zaid bin Aslam berpendapat, ”Ibrahim diutus pada raja yang diktator tersebut, memerintahkan agar beriman kepada Allah. Berkali-kali diseru agar beriman, tetapi terus menolak.
Kesejahteraan institusi keluarga asas kepada pembentukan masyarakat.
Usaha pembinaan institusi keluarga sangat dititikberatkan sejak dahulu dan kisah keluarga Ibrahim ini dimateri Allah untuk teladan kita. Keruntuhan institusi ini menghasilkan kemerosotan nilai dalam masyarakat. Seterusnya melahirkan pemimpin yang bermasalah.
Betapa berjayanya institusi keluarga Ibrahim, dari Ibrahim melaksanakan tugasnya dan isteri-isterinya yang taat dan patuh kepada perintah suami dan Allah serta anak-anak yang sangat taat kepada ibu bapa.
Berkorban adalah pembuktian keikhlasan.
Pengorbanan masa, harta dan wang, tenaga, dan nyawa pada jalan Allah merupakan peringkat tertinggi sebagai pembuktian keikhlasan setiap amalan. Allah telah merakamkan bagaimana Ibrahim as membuktikan keikhlasannya menjalankan setiap perintah melalui pengorbanan baginda yang tiada berbelah-bagi. Pengorbanan di jalan Allah seperti inilah yang sangat diperlukan pada saat ini untuk mempastikan diri kita dijamin ke syurga Allah nanti. Seterusnya akan member kesan terhadap keluarga dan masyarakat sekeliling.
Sahabat yang dihormati,
Jika kedapatan ramai individu yang memahami, mengatasi, dan menguasai empat pengajaran besar ini, maka yakinlah sahabat bahawa umat Islam akan menjadi umat yang kuat dan tidak mudah diperkotak-katik oleh musuh sepertimana yang berlaku sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih sudi membaca tulisan saya...