Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (ali-Imran:14)
Kehidupan manusia tidak boleh tidak perlu memenuhi tuntutan fitrah, barulah kehidupan manusia akan berjalan dengan lancar. Disamping contoh nafsu sebagai fitrah, contoh lain ialah tindak balas kencing. Fitrah kencing adalah ketetapan yang tiada manusia mampu melanggarinya samalah dengan fitrah keperluan nafsu.
Bagaimana fitrah kencing berlaku? Ianya berlaku disebabkan oleh proses penapisan darah di dalam organ buah pinggang. Lebihan air dan urea akan disingkirkan oleh buah pinggang dan terkumpul di pundi kencing sebelum dibuang melalui uretra sebagai air kencing. Semakin banyak kandungan air dalam darah, maka semakin banyaklah air urea yang bakal kita hasilkan. Oleh itu, boleh dikatakan kencing merupakan fitrah yang bertindak balas dengan kadar tambahan air di dalam badan.
Sepertimana firman Allah di atas, nafsu kelas pertama ialah berkehendak kepada pasangan berlawanan jenis. Lelaki mahukan perempuan manakala perempuan mahukan lelaki. Kemahuan ini akan lebih terserlah setelah kedua-dua jenis jantina ini matang untuk bersama. Ditambah pula dengan pendedahan pertemuan bersama setiap hari. Semakin kerap pertemuan, maka semakin bertambahlah kemahuan untuk bersama. Oleh itu, boleh dikatakan kemahuan bersama antara lelaki dan perempuan merupakan fitrah yang bertindak balas dengan kekerapan percampuran bersama.
Antara fitrah kencing dan kemahuan kepada jantina lawan mempunyai kaitan yang sama. Fitrah kencing sememangnya akan berlaku dan tidak boleh dihalang samalah seperti kemahuan kepada jantina lawan. Namun kedua-duanya boleh dikawal keadaannya. Kencing dikawal dengan mengurangkan kadar pengambilan air. Bersamaan juga dengan kemahuan kepada jantina lawan, dikawal dengan mengurangkan kadar pertemuan bersama.
Pasangan yang kerap bertemu tidak kira melalui laman maya ataupun berhadapan pastinya akan bertambah kemahuan mereka untuk bersama. Justeru fitrah nafsu manusia sangat berkehendak kepada hubungan jantina. Hubungan jantina ini perlu dijalinkan dengan ikatan yang halal iaitu nikah. Pernikahan merupakan jalan penyelesaian kepada fitrah nafsu kelas pertama manusia. Tanpa pernikahan, nafsu akan tersekat dan akan terjadi penderaan fitrah nafsu. Samalah juga dengan menahan kencing yang akan menghasilkan penyakit yang pelbagai seperti batu karang dan kanser prostat.
Sehubungan dengan ketidakterkawalan kadar pembuangan anak kini, ini tidak lain hanya disebabkan oleh fitrah nafsu yang tidak dikawal tambahan dilayan pula tanpa mengikut saluran yang halal. Keadaan hidup semasa kini sangat menjurus kepada perhubungan bebas di antara lelaki dan perempuan. Percampuran sememangnya tidak boleh dielak lagi, namun sangat memerlukan kawalan. Proses pengawalan ini perlukan kepada kefahaman terhadap fitrah nafsu seperti yang dijelaskan di atas.
Oleh yang demikian, seseorang kini perlulah menjaga dirinya supaya terkawal fitrah nafsunya agar tidak terjadi penderaan fitrah yang lambat laun akan mendorongnya menjadi tidak waras. Sepertimana perumpamaan kencing, ianya tetap akan berlaku. Cuma seseorang mampu mengawalnya dengan mengurangkan kadar pengambilan air. Maka yang demikian, proses itu akan menjadi lambat tanpa ketergesaan. Seseorang mampu mengawal kehendak fitrah nafsu mahukan jantina lawan dengan mengurangkan gejala-gelaja ‘dating’, ‘couple’, lepak, cinta sebelum nikah, dan sebagainya. Lebih baik lagi dengan mengelak semuanya kerana gejala-gejala tersebut adalah pemangkin kepada pembuakkan fitrah nafsu kelas pertama manusia yang akan mendorong manusia menjadi tidak tentu arah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih sudi membaca tulisan saya...